Pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe baru-baru ini melakukan kejutan apabila tidak memanggil pemain tengah PKNS FC, Akram Mahinan dan pemain Selangor, Halim Saari ke kem latihan pusat bagi menghadapi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bulan depan. Turut tidak dipanggil ialah pemain pertahanan Kuala Lumpur, Irfan Zakaria.

Kesemua pemain itu sebelum ini merupakan tonggak penting yang sering membarisi skuad kebangsaan namun kali ini Cheng Hoe melakukan perubahan drastik di bahagian tengah dengan membawa masuk bintang tengah JDT, Afiq Fazail dan kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar.

“Mereka tidak berada dalam tahap kecergasan yang memuaskan kerana tidak terlibat dalam beberapa perlawanan kompetitif berbanding pemain lain. Saya mahukan pemain yang sentiasa melakukan latihan setiap hari dan mereka yang terlibat aktif dalam kempen Piala Malaysia.

“Kami perlukan keputusan yang bagus lawan Thailand kerana mereka merupakan pendahulu kumpulan G. Untuk perlawanan menentang Indonesia, kami tidak boleh terlalu yakin walaupun mereka tidak menang setakat ini, ianya tidak bermakna mereka tidak bagus,” jelasnya.

Tan Cheng Hoe
FOTO:  NSTP/IQMAL HAQIM ROSMAN

Peminat bola sepak tempatan kali ini sangat teruja untuk menyaksikan gandingan menarik di bahagian tengah yang menampilkan kelibat Afiq Fazail bersama Azam Azih dan Brendan Gan.

Kehadiran Baddrol dan Afiq mampu menawarkan alternatif terbaik buat pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe untuk mencetus kreativiti bahagian tengah.

“Dua pemain ini beraksi dengan baik bersama pasukan masing-masing dan saya percaya mereka mampu stabilkan bahagian tengah.

“Baddrol telah beraksi lebih 50 kali bersama pasukan negara dan pengalamannya masih diperlukan. Seperti Aidil Zafuan, kami perlukan seorang lagi pemain senior untuk membimbing beberapa pemain muda dalam pasukan.

“Afiq beraksi cemerlang ketika dalam saingan AFC Champions League dan pengalaman yang dimilikinya boleh memberikan kita banyak manfaat,” jelas Tan Cheng Hoe dalam The Star. 

Baddrol Bakhtiar
FOTO: BH

Sementara itu, Baddrol Bakhtiar telah menunggu selama dua tahun untuk menyarung jersi skuad Harimau Malaya apabila mendapat panggilan untuk menyertai kem latihan pusat yang bermula Isnin ini.

Kali terakhir beliau beraksi bersama skuad kebangsaan adalah ketika menentang Hong Kong dalam perlawanan persahabatan di bawah kendalian Nelo Vingada.

“Saya berterima kasih kepada jurulatih kerana masih percaya. Jadi, dengan panggilan kali ini, saya akan berikan yang terbaik untuk skuad kebangsaan,” katanya dalam Stadium Astro.

Skuad Harimau Malaya dijadualkan menentang Tajikistan dalam perlawanan persahabatan antarabangsa pada 9 November sebelum menentang Thailand dan Indonesia. Kesemua perlawanan ini berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan skuad Harimau Malaya melalui pautan dibawah.

Ong Kim Swee Tidak Setuju Luqman Hakim Dipanggil Sertai Skuad Harimau Malaya

Tan Cheng Hoe Beri Bayangan Tiada Rombakan Besar-Besaran Dalam Skuad Harimau Malaya

Tan Cheng Hoe Berminat Panggil Afiq Fazail Perkuatkan Jentera Tengah Harimau Malaya